Antara bangunan di sekitar Kuala Lumpur yang memasang Jalur Gemilang memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan, esok.
Antara bangunan di sekitar Kuala Lumpur yang memasang Jalur Gemilang memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan, esok.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Menjelang sehari lagi sambutan Hari Kebangsaan, ibu kota meriah dengan pemasangan Jalur Gemilang di bangunan kerajaan dan swasta.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, 50,000 bendera diedarkan kepada persatuan penduduk, sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk dipasang di bangunan dan kediaman masing-masing.

“DBKL turut memasang 10,000 bendera di sekitar ibu negara bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Kami berharap penduduk, sekolah dan NGO yang menerima bendera daripada DBKL dapat memasangnya di bangunan dan rumah masing-masing,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di sekitar ibu kota mendapati setiap bangunan dipasang bendera bersesuaian sepanjang bulan Ogos sinonim dengan kempen kibar Jalur Gemilang.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati hampir 90 peratus kenderaan orang awam tidak dipasang bendera, tidak seperti sambutan sebelumnya.

Bagi Mohd Ariffudin Sapardin, 24, pemasangan Jalur Gemilang penting sebagai komitmen penuh menyemarakkan semangat cintakan negara.

“Berlainan tahun ini, hampir 90 peratus kenderaan atas jalan raya tidak dipasang bendera kemegahan negara ini, mungkin kempen seperti itu patut dipergiatkan.

“Kempen kibar Jalur Gemilang tidak akan tercapai kalau kita tidak memberi komitmen sepenuhnya, lebih-lebih lagi sambutan ini diadakan setahun sekali.

“Masyarakat kini sudah tidak mengenang perkara berkenaan, apa jua program yang berunsurkan patriotisme kita seharusnya memberi 100 peratus pembabitan kerana hanya cara itu sahaja yang mampu kita sumbangkan kepada negara,” katanya.

Pekerja swasta, Ahmad Shahir Abdul Munir, 25, berkata, bersesuaian tema ‘Malaysia, Sehati Sejiwa’ dalam meraikan ulang tahun kemerdekaan negara Ke-59, sepatutnya orang ramai sehati sejiwa membantu kempen kerajaan dalam mengibarkan Jalur Gemilang.

“Tahun ini agak mengejutkan berikutan kempen yang diberi menerusi akhbar dan televisyen sudah banyak, tetapi agak kurang diberi perhatian oleh orang ramai mengenai kesedaran mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing.

“Saya percaya kerajaan sudah berbelanja besar demi menjayakan kempen kibar Jalur Gemilang ini.

“Diharap kita sama-sama menyemarakkan kempen kibar Jalur Gemilang sama ada di bangunan kerajaan, rumah kediaman dan kereta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 9:22 AM