Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


Tanah Merah: Seorang bekas tentera di Kampung Batu 11, di sini, mempunyai cara tersendiri untuk menzahirkan rasa patriotik dengan menghias rumahnya dengan bendera terbuang yang dikutip di sekitar Tanah Merah.

Muhammad Nasir Mustapha, 62, berkata, setiap kali terjumpa bendera yang dibuang sama ada di tepi jalan atau di mana-mana, dia akan mengutip dan membawa balik ke rumah untuk dibersihkan kerana tidak sanggup melihat Jalur Gemilang iaitu lambang kebanggaan negara dibuang merata-rata tempat.

Muhammad Nasir yang juga dikenali Pok Sir Bendera berkata, walaupun sering disindir oleh rakan-rakan dan tidak kurang juga yang menggelarnya 'orang gila' kerana tabiatnya yang suka mengutip Jalur Gemilang yang dibuang di tepi jalan, namun itu tidak melunturkan semangatnya, sebaliknya memberi kepuasan sekali gus mendidik hatinya untuk mencintai tanah air.

"Sindiran itu, sedikit pun tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus menghiasi rumah atau kenderaan dengan Jalur Gemilang sepanjang tahun terutamanya pada Bulan Kemerdekaan.

"Saya mula mengutip Jalur Gemilang yang jatuh di tepi jalan, rosak mahupun terkoyak pada tahun 1998 kerana pada ketika itu mempunyai kekangan kewangan mengehadkan saya untuk menghias rumah dengan Jalur Gemilang dan bendera yang dikutip itu dibawa balik ke rumah dan hasilnya saya berjaya mengumpul 6,000 helai Jalur Gemilang.

"Pada tahun 2000, saya mula menghias rumah dengan menggantungkan bendera yang dikutip ini yang secara tidak langsung membawa kepada penjimatan kos selain mengurangkan pencemaran alam sekitar.

"Sebanyak 4,000 helai Jalur Gemilang yang berkibar dan digantung di sekeliling rumah bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan adalah bendera terbuang yang dikutip di tepi jalan, malah ada juga individu yang baik hati memberikan saya bendera sebagai tanda sokongan dan semangat patriotik," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu, 11, semalam.

Bapa kepada empat anak berusia 25 hingga 39 tahun ini berkata, hatinya tidak tenang kalau tidak pasang Jalur Gemilang setiap kali menjelang Hari Kebangsaan apatah lagi pada hari ulang tahun kemerdekaan negara itu disambut di seluruh negara dengan laungan merdeka.

Nasir ketika ditemui di Kampung Batu 11 di sini. Beliau mempunyai cara tersendiri untuk menzahirkan rasa patriotik. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nasir ketika ditemui di Kampung Batu 11 di sini. Beliau mempunyai cara tersendiri untuk menzahirkan rasa patriotik. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Pada 2009, bagi mencipta kelainan, saya mengecat bahagian luar rumah dengan tema Jalur Gemilang dan tidak mengeluarkan modal sendiri, sebaliknya cat disumbangkan oleh orang korporat.

"Niat saya untuk menghias rumah dengan Jalur Gemilang bukanlah untuk bertanding dan memenangi gelaran atau menunjuk-nunjuk sebaliknya ingin berkongsi semangat patriotik serta cintakan tanah air di samping menghargai jasa pejuang terdahulu yang berkorban untuk negara.

"Apabila Jalur Gemilang sudah siap dipasang, saya akan pastikan semuanya adalah dalam keadaan baik dan mana-mana bendera yang kelihatan rosak atau lusuh, saya akan terus gantikan dengan yang baharu," katanya.

"Jalur Gemilang bukan hanya sekadar kain yang dikibar-kibarkan kosong, tetapi ia adalah simbol paling penting untuk negara kita," katanya tabiat suka mengutip bendera terbuang turut diwarisi dua anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 8:28 AM