Amirul Aiman Hamsuddin


“IBU hubungi saya dua hari lalu dan memaklumkan terdapat orang tidak dikenali berlegar di sekitar kawasan rumah dengan menaiki kereta.

“Malah ketika bercakap, suara ibu seolah-olah dalam ketakutan dan itu kali terakhir saya mendengar suaranya sebelum dia pergi buat selamanya.”

Itu kata K Gokilam, 52, anak bongsu P Runkanaikey, 78, warga emas yang maut ditetak lima lelaki bertopeng di Kampung Tebuk Pulai, Sabak Bernam hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, cucu mangsa, N Silamparasan, 22, turut parah akibat diserang kumpulan lelaki berkenaan.

Kejadian itu disedari jiran mangsa yang memaklumkan kepada polis selepas melihat sesuatu mencurigakan di rumah itu.

Gokilam yang menetap di Nibong Tebal, Pulau Pinang berkata, dia terkejut selepas salah seorang ahli keluarganya memaklumkan kejadian pilu itu.

“Sudah sebulan saya tidak bertemu ibu dan kali terakhir kami berjumpa di rumahnya.

“Ketika itu, ibu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan sempat berpesan kepada saya dan adik-beradik lain supaya menjaga diri.

“Saya terkilan kumpulan lelaki itu menyerang warga emas yang tidak berdaya. Kenapa ibu menjadi sasaran mereka? Apa salah ibu sampai diserang begitu sekali?” katanya di lokasi kejadian.

K Gokilam menunjukkan pintu rumah ibunya yang dipecahkan penjenayah. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
K Gokilam menunjukkan pintu rumah ibunya yang dipecahkan penjenayah. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Sementara itu, seorang lagi cucu Runkanaikey yang juga adik Silamparasan, E Tihaykumar, 16, berkata, dia bersama seorang ahli keluarga sempat mengambil Runkanaikey dari rumahnya untuk dibawa ke Taman Feri, di situ semalam.

“Nenek sebelum ini ada beritahu rumahnya sering didatangi beberapa individu tidak dikenali dan berlalu begitu saja.

“Disebabkan nenek bimbang keselamatannya, dia meminta abang (Silamparasan) tinggal bersamanya sementara waktu,” katanya.

Seorang lagi ahli keluarga, N Kumari, 33, berkata, dia berharap penjenayah itu segera ditemui dan menerima hukuman setimpal.

Berita berkaitan

Nenek maut, cucu parah ditetak

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 6:10 PM
Katil dan bilik mangsa yang berlumuran darah di Kampung Tebuk Pulai. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Katil dan bilik mangsa yang berlumuran darah di Kampung Tebuk Pulai. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin