Norlizah Noh (kanan) ketika menziarahi Shapiah (dua dari kanan) dan Olivia (dua dari kiri) untuk menyampaikan sumbangan di kediaman orang tua Nurellisa di Kampung Mawai di sini semalam. FOTO OMAR AHMAD
Norlizah Noh (kanan) ketika menziarahi Shapiah (dua dari kanan) dan Olivia (dua dari kiri) untuk menyampaikan sumbangan di kediaman orang tua Nurellisa di Kampung Mawai di sini semalam. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh lori kelmarin, belum mengetahui anaknya meninggal dunia.

Adik mangsa, Olivia Maisarah Mohd Al Bakri, 15 berkata, kakaknya, Nurellisa, 21 yang parah dalam kejadian itu sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Katanya, doktor menasihatkan supaya tidak memaklumkan berita kematian anaknya kepada kakak yang sedang hamil tiga bulan.

"Keadaan kakak stabil namun dia belum tahu mengenai kematian anaknya. Kandungan kakak juga selamat.

"Kakak baru seminggu bekerja sebagai penghantar barang. Ketika kejadian kakak beritahu dia keluar untuk membeli bubur dan rojak, namun kedai tutup.

"Sebelum ke kedai, dia ada ajak saya tapi saya tidak sihat. Namun, tak lama selepas itu kami dimaklumkan dia dan anaknya terbabit kemalangan dengan," katanya.

Terdahulu, keluarga itu menerima ziarah dan sumbangan daripada Ketua Puteri Umno Bahagian Kota Tinggi, Norlizah Noh di kediaman keluarga Nurellisa di Kampung Mawai di sini, semalam.

Olivia Maisarah berkata, jenazah anak saudaranya sudah dikebumikan pada hari kemalangan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mawai, Kota Tinggi.

Sementara itu, nenek mangsa, Shapiah Osman, 72, berkata, dia sering menasihati cucunya supaya tidak membawa anak ketika menaiki motosikal.

Katanya, dia tidak menyangka kebimbangannya selama ini benar apabila cicitnya Nurelina Abdullah, 2, maut dalam kemalangan.

"Kali terakhir saya nampak Nurelina yang sedang main di hadapan rumahnya pagi itu. Dia memang sangat manja, sering panggil saya 'nyang' dan selalu tidur bersama saya.

"Saya pun tak tahu cucu bawa Nurelina sekali menaiki motosikal. Jika tahu memang saya tidak benarkan.

"Selama ini saya sering pesan supaya tidak bawa anak jika naik motosikal kerana berbahaya," katanya.

Kelmarin, media melaporkan kanak-kanak berusia dua tahun maut manakala ibunya parah selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah lori dalam kemalangan di kilometer 4 Jalan Mawai - Kuala Sedili.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dilanggar sebuah lori dari arah belakang yang datang dari arah sama.

Berita berkaitan:

  • Anak berusia 2 tahun maut, ibu parah motosikal dilanggar lori
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 2:11 PM