Hadzlihady Hassan


KERANA tamak dan mahukan hasil tangkapan yang banyak, enam nelayan dua bot pukat tunda melanggar peraturan dengan menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan.

Tindakan mereka itu membawa padah apabila dua bot pukat tunda bernilai RM1.2 juta dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Pulau Pinang di Perairan Kuala Gula, Perak, semalam.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, dalam Op Gelora jam petang itu, dua tekong bersama empat awak-awak warga Thailand ditahan untuk siasatan lanjut.

“Mereka yang berusia 45 hingga 58 tahun itu ditahan bersama dua bot pukat tunda kelas C dan C2.

“Selain itu, kami turut merampas pelbagai hasil tangkapan laut seberat 1 tan dan peralatan menangkap ikan,” katanya pada sidang media, di Georgetown, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati nelayan berkenaan melanggar syarat lesen iaitu beroperasi kurang 15 batu nautika dari Pantai, sekali gus melakukan Kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985.

“Operasi dijalankan selepas mendapat aduan nelayan yang mendakwa kawasan tangkapan mereka diceroboh.

“Pencerobohan bot pukat tunda ini akan menyebabkan nelayan di zon lain marah kerana hasil tangkapan mereka akan berkurangan,” katanya.

ROSMAN (kiri) menunjukkan buah bot pukat tunda ditahan. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
ROSMAN (kiri) menunjukkan buah bot pukat tunda ditahan. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 8:10 PM