Azahari  (tengah) menyoal siasat nelayan warga asing Vietnam yang ditahan.
Azahari (tengah) menyoal siasat nelayan warga asing Vietnam yang ditahan.
HM Digital

Kuantan: Tindakan pantas Unit Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pahang yang menggunakan bot laju berkuasa 600 kuasa kuda menahan dua bot nelayan Vietnam bersama 22 awak-awak yang menjalankan aktiviti memukat ikan menggunakan pukat ganding di perairan Nenasi, Pekan, kelmarin.

Ketika tangkapan pada jam 10.25 pagi kira-kira 29 batu nautika dari pantai Sungai Miang, Pekan, semua nelayan terbabit sedang nyenyak tidur.

Pemeriksaan dilakukan mendapati satu daripada bot yang digunakan tidak mempunyai lesen.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman berkata, operasi pemantauan dan pengawasan dilakukan selama seminggu berakhir semalam mencatat kejayaan membanggakan apabila menahan empat bot nelayan Vietnam bersama 31 awak-awak.

Beliau berkata, selain bot tidak memiliki lesen dan menggunakan pukat ganding, dua bot yang ditahan di perairan Johor berhampiran Pulau Aur melakukan kesalahan menangkap gamat dengan menggunakan sejenis alat khas dipanggil penyauk.

Katanya, tangkapan membabitkan dua bot nelayan asing menggunakan pukat ganding untuk menangkap hasil laut di negeri ini adalah yang pertama dilakukan Jabatan Perikanan Pahang dan usaha membendung kegiatan itu akan terus dilakukan.

“Dua bot pukat ganding bersama peralatan menangkap hasil laut bernilai RM2.5 juta, ia tidak termasuk harga pelbagai jenis ikan seberat tiga tan kerana kita masih belum membuat lelongan kepada pemborong yang berminat.

“Kita memandang serius kegiatan nelayan asing menangkap ikan di perairan negara ini menggunakan apa saja jenis pukat, usaha menahan mereka sentiasa dilakukan unit peronda Jabatan Perikanan yang menumpukan beberapa kawasan perairan,” katanya ditemui selepas meninjau dua bot nelayan Vietnam yang ditahan di Jeti Jabatan Perikanan Pahang, Padang Lalang, di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi kesalahan nelayan asing menangkap ikan di perairan negara, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM20,000 atau lesen bot digantung atau dibatalkan mengikut Akta Perikanan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 8:08 AM