RINA menyerahkan replika cek bernilai RM22,000 kepada ibu arwah di Hospital Putrajaya, hari ini. FOTO BERNAMA.
RINA menyerahkan replika cek bernilai RM22,000 kepada ibu arwah di Hospital Putrajaya, hari ini. FOTO BERNAMA.
Noor Atiqah Sulaiman

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar hari ini, menyerahkan pampasan insurans hayat berkelompok bernilai RM20,000 dan khairat kematian RM2,000 kepada waris kanak-kanak perempuan yang maut dalam kemalangan, minggu lalu.

Kanak-kanak lima tahun itu meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki bersama keluarganya kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Jambatan Sri Ehsan berhampiran Jabatan Peguam Negara, Presint 4, Putrajaya pada 27 Julai lalu.

Malah, kemalangan itu menjadi perhatian warganet selepas video bapa kanak-kanak itu memangkunya sambil mengucap syahadah buat anaknya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun berkata, kanak-kanak itu

adalah murid Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Presint 11, Putrajaya dan dilindungi Insurans Kemalangan Berkelompok.

“Caruman insurans kemalangan berkelompok itu perlu diperbaharui setiap tahun dan jumlah caruman dibayar semasa sesi pendaftaran.

“Jadi, hari ini kita sampaikan pampasan insurans kepada warisnya dan khairat kematian selain sumbangan daripada warga kementerian juga.

“Selain arwah, ibunya (Nur Yusliana Mohd Yusof, 37) juga adalah guru KEMAS di taska berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas melawat ibu mangsa di Hospital Putrajaya, hari ini.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak dikenali Nur Umairah Syakirah Rosdi, 5, meninggal dunia, manakala ibunya patah kaki kiri dan retak tulang pinggul, abangnya cedera di kepala dan patah kaki, sementara kakaknya berusia lapan tahun dilapor tidak sedarkan diri.

Bapa dan adiknya pula hanya cedera.

Berita berkaitan

Syahadah buat anakku [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 6:17 PM