Putrajaya: Seorang wanita membuat laporan polis terhadap sebuah taska di Presint 9, di sini kelmarin, selepas mendapati ada kesan lebam pada badan bayi lelakinya berusia setahun.

Wanita berusia 28 tahun yang juga penjawat awam itu mendakwa terdapat kesan lebam di paha, bahu, perut dan belakang bayi lelakinya selepas diambil dari taska jam 7.30 malam.

Sumber berkata, ketika mengambil bayi lelaki dan seorang lagi anak lelakinya, seorang pengasuh memaklumkan terdapat kesan merah di belakang badan dan lebam di pipi kerana tersiku ketika melakukan aktiviti.

“Sebaik tiba di rumah, wanita itu dan suaminya memeriksa semula seluruh badan anak lelakinya dan mendapati terdapat kesan seperti lebam di paha, bahu, perut dan belakang badan.

“Malah, ketika mengambil anaknya di taska pengasuh turut memaklumkan bayi lelaki terbabit turut muntah-muntah,” katanya.

Menurutnya, suami wanita terbabit kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pengusaha taska dan menghantar gambar kesan lebam pada tubuh anaknya melalui aplikasi WhatsApp.

“Pengusaha taska berjanji akan menyiasat kejadian itu melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis berkenaan.

“Susulan kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Presint 7 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu, dan siasatan masih dijalankan.

“Kita sudah memanggil pengasuh untuk memberi keterangan. Bayi berkenaan juga sudah dibawa untuk pemeriksaan di Hospital Putrajaya dan didapati kakinya turut patah, selain kesan lebam di bahagian badan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan sama ada dia terjatuh dan sebagainya. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 7:33 AM