Nurul Fatihah Sulaini


REMAJA lelaki berusia 15 tahun dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu di kawasan Taman Rekreasi Sungai Jertih bersebelahan Masjid Hadhari, Jertih.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, Tengku Ahmad Hirzan Tengku Husin yang juga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Agama Ittifakiah di Jertih, tidak pulang sejak keluar dari rumah di Kampung Alor Lintah, Jertih, kira-kira 5 petang.

Beliau berkata, ibu saudara remaja itu, Norma Jusoh, 52, yang juga penjaga Hirzan selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia membuat laporan polis berikutan risau keselamatan anak saudaranya itu.

“Polis juga memohon kerjasama orang ramai sekiranya mengenali atau ternampak Tengku Ahmad Hirzan di mana-mana supaya memaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, seorang sepupu mangsa, Haflan Alias, 27, berkata, Tengku Ahmad Hirzan yang lebih mesra dipanggil Adik dilihat sempat sempat mengemaskini status WhatsApp pada Sabtu lalu ketika pergi memancing, dengan meletakkan gambar sungai berhampiran Masjid Hadhari.

“Mulanya kami cuba mencari sekitar kawasan rumah, tetapi tidak jumpa dan seorang ahli keluarga teringat status WhatsApp itu dan cuba mencarinya di sekitar kawasan berkenaan.

“Kami kemudian terjumpa motosikal jenis Honda C70 yang ditunggangi adik, tetapi tidak menemui tanda lain seperti barangan peribadinya di situ.

“Lebih menghairankan apabila telefon bimbitnya aktif tetapi tidak diangkat, malah dia juga ada melihat status Facebook saya hari ini. Sepanjang pengetahuan kami, dia tiada sebarang masalah dengan keluarga dan rakan.

“Kami memohon sesiapa terjumpa adik supaya segera menghubungi balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 8:43 PM