Ibrahim, Azizah (tengah) dan Aazinah ceria menceritakan pengalaman mereka berada di Tanah Suci. FOTO Yusri Abdul Malek.
Ibrahim, Azizah (tengah) dan Aazinah ceria menceritakan pengalaman mereka berada di Tanah Suci. FOTO Yusri Abdul Malek.
Yusri Abdul Malek


SUAMI isteri ini sering tersenyum kepada sesiapa saja, malah orang yang melihat mereka juga pasti berfikiran bahagianya pasangan itu.

Namun di sebalik senyuman itu, pasangan terbabit adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) pekak dan bisu serta pertama kali ke Makkah untuk mengerjakan haji dan umrah.

Pasangan itu, Ibrahim Ahmad, 62, dan Azizah Mat Zin, 54, dari Pokok Sena, Kedah tekad menyimpan dalam Tabung Haji (TH) sedikit demi sedikit hasil pekerjaan sebagai penoreh getah untuk membolehkan mereka ke Tanah Suci.

Akhirnya, musim haji ini mereka menjadi dhuyufurrahman (tetamu Allah).

Paling manis, kakak Ibrahim, Aazinah Ahmad, 68, turut terpilih bersama dan dia yang menjadi jurubahasa buat adiknya itu.

Bagi Ibrahim, dia gembira sekali apabila mendapat tawaran daripada TH, Januari lalu dan tidak sabar menunggu masa untuk ke Tanah Suci.

Aazinah berkata, adiknya dan isteri sangat gembira dan selalu bertanya “bila nak pi".

Menurutnya, suami isteri itu dilahirkan cacat tetapi gigih menyara diri dan menabung untuk ke Makkah.

Sebaik menjejakkan kaki di Tanah Suci, kedua-duanya melahirkan kesyukuran dan gembira dapat beribadat.

“Adik ipar (Azizah) beritahu hatinya tenang dan seronok pertama kali melihat Kaabah,” katanya ketika ditemui di Abraj Al-Janadriyah, Makkah.

Setakat ini, Ibrahim dan isteri sudah beberapa kali mengerjakan umrah selain mengerjakan tawaf sunat.

Bagi rakan sebilik Ibrahim, Zainal Abidin Deraman, 54, dia menganggap Ibrahim seperti adiknya walaupun usianya lebih tua.

Katanya, dia yang memimpin tangan Ibrahim ketika melakukan tawaf sunat dan Ibrahim memaklumkan, itu adalah tawafnya yang sempurna.

“Saya juga bawa dia pegang Kaabah. Sebelum ini, saya tidak pernah berkomunikasi dengan orang bisu tetapi selepas mengenali Ibrahim, saya boleh pula faham bahasa isyarat,” katanya yang menitiskan air mata terharu mengenangkan nasib Ibrahim yang begitu tabah melakukan ibadah walaupun serba kekurangan.

Rakan sebilik Azizah, Rosini Onn berkata, dia seronok sebilik dengan Azizah yang sukakan kebersihan.

“Azizah ini seorang yang pembersih dan kami dalam bilik ni umpama sebuah keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 10:31 AM