DR Faid (kiri) menunjukkan ambulans TH yang siap sedia untuk digerakkan jika berlaku kecemasan. FOTO Yusri Abdul Malek
DR Faid (kiri) menunjukkan ambulans TH yang siap sedia untuk digerakkan jika berlaku kecemasan. FOTO Yusri Abdul Malek
Yusri Abdul Malek


SEBANYAK 20 ambulans Tabung Haji (TH) disediakan untuk mengangkut jemaah haji yang mengalami masalah kesihatan dan perlu segera dihantar ke pusat rawatan atau hospital kerajaan Arab Saudi.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) 1440 Hijrah Dr Mohammad Faid Abdul Rashid berkata, semua ambulans berkenaan sedia digerakkan jika berlaku kecemasan terutama ketika operasi masyair.

Katanya, pihaknya juga sudah diberi kebenaran oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk menempatkan dua ambulans di kawasan terowong Muasim dan berhampiran lokasi melontar.

Beliau berkata, petugas dalam ambulans akan berada statik di lokasi berkenaan bagi memantau pergerakan jemaah haji kerana jarak melontar dari khemah di Mina ke jamrah adalah tujuh kilometer pergi balik.

"Jadi ada kemungkinan jemaah boleh mengalami masalah kesihatan, sehubungan itu, petugas sudah bersedia membantu," katanya pada sidang media di Pusat Rawatan TH Syisya di Makkah.

Dr Faid berkata, dua ambulans yang diletakkan itu adalah ambulans mini tetapi dilengkapi alat bantuan perubatan terkini.

"Ketika ibadah melontar di jamrah, semua kenderaan tidak dibenarkan masuk, jadi dua ambulans berkenaan akan bertindak sebagai klinik bergerak," katanya.

Sementara itu, petugas kesihatan, Zarinah Man berkata, dia gembira dan bersyukur kerana dapat berkhidmat di Tanah Suci dan membantu jemaah.

Dia yang bertugas di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang berkata, seramai 66 jururawat bertugas di Tanah Suci.

"Paling penting ialah kesabaran selain menetapkan niat untuk bertugas sebagai sebahagian daripada ibadah," katanya.

Katanya, bekerja di sini seronok bagaikan satu keluarga tanpa mengira pangkat.

"Pengalaman pahit ketika bertugas adalah melihat jemaah yang dirawat meninggal dunia di depan mata, tidak dapat dibayangkan pasangan jemaah itu yang dulu datang berdua tetapi pulang seorang diri," katanya

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 12:45 PM