Fairul Asmaini Mohd Pilus


SEBANYAK 3,293 kes HIV baru dilaporkan di negara ini tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, jumlah itu bersamaan kadar 10.0 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

“Daripada jumlah itu, 47 kes membabitkan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Lee menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) mengenai statistik terkini kanak-kanak di Malaysia yang dijangkiti virus HIV/ Aids, berapakah rumah perlindungan yang dikendalikan kerajaan serta pihak swasta dan bantuan yang diberikan.

Mengulas lanjut Lee berkata, Majlis AIDS Malaysia memberi bantuan kewangan untuk kos pengurusan kepada 13 rumah perlindungan yang turut menerima pesakit HIV.

Lee berkata, antara rumah perlindungan itu adalah Rumah Soleha (Kuala Lumpur) dan Casa Harapan (Pahang) yang turut mempunyai penghuni kanak-kanak pesakit HIV.

Katanya, skop fungsi Kementerian Kesihatan (KKM) ialah pencegahan penyakit, jagaan serta rawatan pesakit di hospital atau jagaan asas tetapi tidak termasuk penyediaan rumah perlindungan sementara.

“Sebelum ini, kos pengendalian rumah perlindungan adalah di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

(KPWKM) tetapi pada 2017, kementerian terbabit memberhentikan bantuan dan meminta KKM mengambil alih kos pengendalian.

“Walaupun KKM tidak mempunyai peruntukan khas untuk tujuan berkenaan namun atas dasar perikemanusiaan, sebahagian kos pengendalian rumah perlindungan itu sudah dibiayai menggunakan dana bantuan kementerian untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ia memberi kesan kepada program pencegahan kerana peruntukan NGO amat terhad dan ia seharusnya dikhususkan untuk pencegahan dan kawalan HIV,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 12:23 PM