Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Shamsul Munir Safini


LIMA pelajar dan seorang peniaga berusia 14 hingga 19 tahun diberkas polis kerana menunggang secara melulu dan berbahaya di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dekat Pantai Bersih semalam.

Sepasukan polis yang menyamar ‘mat motor’ mengekori sekumpulan remaja bermotosikal yang asyik berlumba di lebuh raya itu 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, empat daripada mereka yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR didapati menunggang dengan cara merbahaya dengan menunduk ketika memecut dan mengangkat tayar hadapan motosikal.

“Mereka juga menunggang dengan cara ‘zig-zag’ sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain termasuk diri mereka.

“Polis yang mengekori mereka kemudian menahan enam suspek ketika mereka berhenti di kawasan rehat dan rawat Bagan Ajam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Noorzainy berkata, sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 1:20 PM