ANTARA mat rempit yang ditahan dalam operasi itu. (Gambar kecil) SYABU dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA mat rempit yang ditahan dalam operasi itu. (Gambar kecil) SYABU dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


“ISI kepala dulu, baru boleh jadi berani dan tunjuk ‘skill’. Itu antara pengakuan seorang ‘mat rempit’ yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), dekat Kepala Batas, hari ini.

Dalam operasi 4.15 pagi itu, lelaki berusia 19 tahun berkenaan bersama dua lagi rakan berusia 20 dan 25 tahun ditahan selepas dilihat mempamerkan beberapa aksi berbahaya dengan menunggang motosikal masing-masing.

Semua mereka yang ditahan bekerja sebagai operator kilang dan mereka pada mulanya dilihat menunggang secara melulu dan berbahaya bermula dari Plaza Tol Bagan Ajam menghala ke pusingan ‘U’ Pelabuhan Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, semua penunggang motosikal itu membuat beberapa kali pusingan ‘U’ sambil menunjukkan lagak masing-masing tanpa menyedari perbuatan mereka diperhatikan polis.

“Mereka kemudian beredar serta menuju ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam dan ketika itu polis memberkas semua penunggang motosikal terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui syabu seberat 0.3 gram daripada seorang penunggang motosikal berkenaan dan dia turut positif methamphetamine.

“Dia mendakwa terpaksa menghisap dadah terlebih dahulu untuk membuatkannya lebih berani menunjukkan aksi ngeri ketika menunggang motosikal,” katanya.

Menurutnya, semua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 12:16 PM