REMAJA yang diberkas kerana menunggang secara melulu dan berbahaya. FOTO ihsan polis
REMAJA yang diberkas kerana menunggang secara melulu dan berbahaya. FOTO ihsan polis
Shamsul Munir Safini

LIMA remaja ‘mat rempit’ diberkas polis selepas dikesan menunggang dan melakukan aksi bahaya di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, kesemua mereka didapati menunggang secara melulu dan berbahaya di lebuh raya berkenaan dengan melakukan aksi ‘zig zag’ dan ‘wheelie’ di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Nor berkata, sepasukan pegawai dan anggota daripada Unit Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara melakukan tugasan penguatkuasaan di kawasan berkenaan selepas mendapat aduan daripada orang ramai.

Katanya, hasilnya polis mengesan lima remaja berkenaan sedang leka melakukan aksi berbahaya dengan motosikal masing-masing tanpa menghiraukan keselamatan diri dan pengguna lain.

“Mereka menunggang dengan laju sambil membuat aksi bahaya bermula dari Tol Bagan Ajam menghala ke Butterworth sebelum membuat pusingan U ke Plaza Tol Bagan Ajam arahSungai Dua.

“Perbuatan mereka boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri danjuga kepada pengguna yang lain,” katanya.

Menurutnya, polis kemudian mengejar dan menahan kelima-lima remaja berkenaan yang mana empat daripada mereka masih belajar.

Katanya, kesemua mereka kemudian ditahan sebelum ditahan di lokap polis bagi siasatan lanjut.

Noorzainy berkata, ibu bapa dinasihatkan agar mengawasi anak mereka supaya tidak terjebak dengan kegiatan yang tidak sihat seperti ini kerana ia boleh akan menjejaskan reputasi serta masa depan mereka.

Katanya, kesemua remaja berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 6:28 PM