FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Hadzlihady Hassan

SIANG berkerja sebagai mat ‘despatch’, malam pula merempit, itu dilakukan lelaki yang ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Kepala Batas, hari ini.

Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan kira-kira 1 pagi ketika sedang menunggang motosikal sambil menunjukkan aksi berbahaya di lebuh raya terbabit.

Difahamkan, ketika itu suspek beberapa kali dilihat menunggang dan menunjukkan aksinya dipercayai untuk ‘mengumpan’ mat rempit lain berlumba dengannya.

Bagaimanapun, belum sempat perlumbaan dijalankan, sepasukan lapan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara berjaya menahannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selain ‘mat despatch’ terbabit polis turut menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang juga merempit di kawasan berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek menunggang secara merbahaya dan melulu di kawasan berkenaan.

“Ujian air kencing mendapati mereka bebas daripada pengaruh dadah dan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 4:20 PM