DUA daripada tiga penunggang motosikal yang berjaya diberkas dalam Op Samseng Jalanan. FOTO IHSAN PDRM
DUA daripada tiga penunggang motosikal yang berjaya diberkas dalam Op Samseng Jalanan. FOTO IHSAN PDRM
Shamsul Munir Safini


TIGA remaja diberkas polis ketika berlumba dan menunggang secara melulu serta berbahaya di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, tiga mereka berusia 16 hingga 19 tahun ditahan ketika berhenti di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Bagan Ajam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara melakukan Op Samseng Jalanan bermula tengah malam.

Noorzainy berkata, hasil risikan dan pemerhatian di lokasi, pihaknya mengesan beberapa kumpulan motosikal ditunggang secara melulu dan berbahaya bermula dari Plaza Tol Bagan Ajam menghala ke Pusingan U Pelabuhan Pulau Pinang sebanyak beberapa pusingan.

“Pasukannya kemudian bertindak mengekori kumpulan motosikal itu sebelum semua suspek berhenti di R&R Bagan Ajam.

“Hasil pemeriksaan dijalankan, tiga remaja berusia 16 hingga 19 tahun ditahan,” katanya.

Beliau berkata, salah seorang mereka masih bersekolah manakala dua lagi bekerja sebagai tukang gunting rambut dan kedai makan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan maksimum RM15,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 9:13 PM