PENIAGA memeriksa peralatan dan barang perniagaan mereka yang rosak dilanda ribut di Pasar Penjaja Selising, Pasir Puteh, petang semalam. FOTO ihsan pembaca.
PENIAGA memeriksa peralatan dan barang perniagaan mereka yang rosak dilanda ribut di Pasar Penjaja Selising, Pasir Puteh, petang semalam. FOTO ihsan pembaca.
Nor Amalina Alias


TUJUH peniaga wanita berdepan detik cemas apabila gerai mereka dilanda ribut selama 20 minit di Pasar Penjaja Selising, Pasir Puteh, petang semalam.

Kejadian 3.30 petang itu mengakibatkan semua khemah gerai musnah dan barang makanan dijual peniaga rosak.

Difahamkan, sebuah rumah penduduk di Banir Belikong yang terletak kira-kira tiga kilometer dari pasar penjaja itu turut dihempap pokok dan rosak.

Peniaga, Suhaini Samsudin, 36, berkata, ketika kejadian dia melihat langit gelap sebelum disusuli hujan lebat.

Katanya, ribut pertama melanda 3.30 petang selama 10 minit sebelum ribut kedua melanda lima minit kemudian.

“Selepas reda, datang pula ribut ketiga yang paling kuat sehingga kami tak nampak apa-apa.

“Saya sendiri terpelanting kira-kira tiga meter dan ditimpa peralatan makanan dijual, namun bersyukur kerana hanya cedera ringan di lutut dan badan,” katanya ketika ditemui di Selising.

Suriana Saidi, 30, pula berkata, semua barangan iaitu ayam goreng, ayam gunting, air dan buahan yang dijual bersama suami, Zulkifli Abdul Hamid, 47, rosak teruk.

“Saya anggarkan kerugian lebih RM1,000 termasuk khemah, barang jualan, duit hasil jualan dan peralatan memasak rosak selepas dilanda ribut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pihaknya sudah melawat peniaga dan lokasi kejadian serta sedang mengumpul maklumat semua peniaga terbabit.

Beliau berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan bencana kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 12:20 AM