FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

SEORANG warga emas dipercayai menjadi dalang kepada satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Batu Pahat, akhirnya ditahan polis selepas intipan dan siasatan dilakukan sejak 2017.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, lelaki warga Indonesia berusia 60 tahun ditahan Jumaat lalu di Jalan Syahbandar, di sini.

Katanya, kejayaan berkenan hasil siasatan berterusan pihaknya terhadap sindiket pemerdagangan orang yang pernah ditumpaskan sebelum ini.

“Pihak polis percaya dengan tertangkapnya suspek, satu sindiket penyeludupan migran yang aktif di daerah ini berjaya ditumpaskan selain siasatan juga mendapati suspek berperanan sebagai ‘tekong laut’ dalam sindiket ini.

“Terdahulu melalui kumpulan sama, polis berjaya melakukan tujuh siri tangkapan tetapi ‘dalangnya’ terlepas, namun kali ini (Jumaat) suspek berjaya diberkas akhirnya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Azhan, suspek ditahan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya sekali.

“Polis kini memburu saki baki ahli kumpulan ini selain meminta orang ramai terutamanya mereka yang menetap di pesisiran pantai atau nelayan diingatkan tidak terbabit dengan sebarang bentuk kegiatan membawa masuk dan keluar PATI,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 3:52 PM