NASARUDIN dirawat di hospital. FOTO Ihsan Pembaca
NASARUDIN dirawat di hospital. FOTO Ihsan Pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


“SAYA mimpi sedang buang ular dan rasa dipatuk sebelum terjaga dan melihat seekor ular tedung dekat bantal,” kata Pegawai Pertahanan Awam Manjung, Kapten (PA) Nasarudin Abu Bakar, 59.

Nasarudin, dipatuk ular tedung sepanjang 0.6 meter pada 3.30 pagi semalam ketika berada di biliknya di pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Manjung di Jalan Tok Perdana, Sitiawan.

Menceritakan kembali kejadian, Nasarudin berkata ketika itu dia yang baru pulih daripada demam dan batuk sedang berbaring di sofa untuk berehat selepas melakukan kerja sebelum terlena.

“Tiba-tiba saya tersedar dari mimpi dan melihat ular sudah berada dekat bantal dan berasa seperti dipatuk pada tapak tangan kiri berhampiran ibu jari.

“Saya terus keluar dan memaklumkan kepada anggota untuk menangkap reptilia berkenaan dan kemudian mereka menghantar saya ke hospital dan tangan juga sudah berdarah ketika itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Seri Manjung, Manjung, hari ini.

Nasarudin berkata, dia menyedari dipatuk ular apabila berasa ada luka pada tangannya dan ketika dalam perjalanan ke hospital, dia mula berasa kebas pada tangan.

Menurutnya, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada jam 2.15 petang semalam, namun keadaannya stabil dan merasakan badannya juga berada dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, setakat ini saya rasa keadaan baik dan diberikan ubat antivenom dalam badan, cuma ada rasa gatal dan sesak nafas sedikit mungkin kerana kesan tindak balas ubat.

“Ular itu bukan hasil tangkapan APM, tetapi dipercayai masuk ke pejabat melalui saluran bilik air dan setahun lalu pernah ada ular tedung juga masuk ke bilik air berkenaan, namun saya sempat menghalau haiwan itu,” katanya

Nasarudin berkata, kejadian itu adalah pertama kali dia dipatuk ular dan sebelum ini pernah tiga kali disengat tebuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 2:51 PM