Hazira Ahmad Zaidi

Bachok: "Beberapa hari lalu arwah menyuarakan hasrat untuk melangsungkan pertunangan dengan wanita pilihannya pada Aidiladha bulan depan," kata Noriah Awang, 67.

Noriah adalah ibu kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu, Mohd Idris Abdul Samad, 34, yang meninggal dunia jam 9.30 pagi hari ini, selepas dua hari dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian akibat dipatuk ular tedung, Ahad lalu.

Katanya, arwah anaknya itu sudah lama mengenali wanita pujaan hatinya.

"Bagaimanapun, hajat arwah tidak kesampaian apabila dia terlebih dahulu dijemput Ilahi, kami sekeluarga reda dengan apa yang terjadi.

"Saya masih lagi terkejut dengan pemergian arwah kerana ketika dimasukkan ke Hospital USM pada Ahad lalu kesihatan arwah berada dalam keadaan baik dan stabil.

"Namun, pada 11 malam, anak yang menjaga arwah memberitahu Idris mengadu sakit dada," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemasin, di sini, hari ini.

ANGGOTA APM Mohd Idris meninggal dunia hari ini selepas dipatuk ular tedung Ahad lalu. FOTO Hazira Zaidi.
ANGGOTA APM Mohd Idris meninggal dunia hari ini selepas dipatuk ular tedung Ahad lalu. FOTO Hazira Zaidi.

Noriah berkata, dia sekali lagi menerima panggilan pada 3 pagi memaklumkan keadaan arwah semakin merosot akibat bisa ular sudah merebak ke bahagian pinggang.

"Saya kemudian bergegas ke hospital dan berada di sisi arwah sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir," katanya.

Noriah berkata, dia sentiasa menasihati anak ketiga daripada lima beradik itu supaya lebih berhati-hati memandangkan pekerjaan arwah yang berdepan risiko terutama ketika mengendalikan haiwan berbisa.

Katanya, walaupun terlatih dalam pengendalian haiwan berbisa, namun arwah tetap berdepan risiko yang boleh meragut nyawanya sendiri sekiranya terleka.

"Sepanjang berkhidmat sebagai anggota APM, arwah sudah dua kali dipatuk haiwan berbisa, dan hampir meragut nyawa, namun arwah tetap menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.

Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemasin pada 2 petang.

Turut hadir Pengarah APM Kelantan Mohd Adzhar Mujab.

Sementara itu, rakan setugas arwah, Mohd Yunus Sulaiman, 55, berkata, arwah rakan sekerjanya itu digelar dengan panggilan Raja Ular disebabkan kecekapannya mengendalikan haiwan berbisa.

"Bagaimanapun, saya tidak menyangka, haiwan yang selama ini jinak dengan arwah akhirnya menjadi penyebab kepada kematiannya.

"Sepanjang bertugas dan mengendalikan haiwan berbisa, arwah seorang yang sentiasa mengutamakan keselamatan diri dengan memakai alat perlindungan seperti sarung tangan bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 4:59 PM