YANG Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu, Nasrudin Hassan (tengah) disambut kakitangan pada hari pertama masuk ke pejabat YADIM. FOTO Samadi Ahmad
YANG Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu, Nasrudin Hassan (tengah) disambut kakitangan pada hari pertama masuk ke pejabat YADIM. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


TINDAKAN merombak kepimpinan sesebuah organisasi sebaik ia diambil alih mencerminkan sikap kurang bijak bagi seseorang pemimpin.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu, Nasrudin Hassan, berkata, beliau memberi jaminan tidak akan merombak struktur agensi gerakan dakwah itu membabitkan cara kerja, logo dan warna pakaian seragam.

Nasarudin sebaliknya mahu perkara yang baik diteruskan dengan menggabungkan idea kepimpinan baharu.

"Kita tidak perlu merombak sebaliknya kena teruskan yang baik dan gabungkan perkara baharu yang bermanfaat," katanya ketika berucap sempena hari pertama masuk ke pejabat di YADIM di Putrajaya tadi.

Nasarudin yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, dilantik sebagai Yang Dipertua YADIM ke 14 menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz bermula 16 Julai lalu.

Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu dilahirkan pada 24 November 1970 di Kampung Batu 13, Besut, Terengganu dan lulusan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir dalam bidang Usuluddin Syu'bah Hadis.

Nasarudin berkata, sebarang perubahan atau tambah nilai di bawah agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu memerlukan mesyuarat kerana gerakan dakwah membabitkan pelbagai segmen.

Menurut beliau, segmen itu membabitkan golongan bukan muslim, saudara baharu dan umat Islam itu sendiri.

"Ia juga membabitkan ancaman terhadap Islam dibawa golongan berfahaman liberal. Dakwah diperlukan bagi membetulkan persepsi Islam sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 6:37 PM