GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


NIAT murni seorang pekerja logistik mahu memberikan RM3 kepada dua lelaki tidak dikenali bertukar sebaliknya apabila dia menjadi mangsa samun dalam kejadian di hadapan sebuah balai raya di Bukit Kuang, dekat Chukai, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam, lelaki berusia 33 tahun yang baru selesai mengisi minyak dan angin tayar motosikal di sebuah stesen minyak ditahan dua lelaki menaiki motosikal jenis Modenas Kriss.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, dua suspek mengarahkan mangsa mengikut mereka sebelum mereka berhenti di hadapan sebuah balai raya.

Beliau berkata, suspek bertanya sama ada mangsa mempunyai RM3 dan mangsa tanpa mengesyaki apa-apa memaklumkan dia mempunyai wang yang diminta lalu mengeluarkan beg duitnya.

“Sebaik mangsa mengeluarkan beg duitnya, salah seorang suspek merampas beg duit mangsa mengandungi wang tunai RM180 dan telefon bimbit sebelum memulangkan beg mangsa.

“Suspek turut melarikan motosikal jenis Honda Dash milik mangsa sebelum kedua-duanya beredar.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Chukai pada hari yang sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 2:15 PM