LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Polis
LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Polis
Mohd Sabran Md Sani


MALANG menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun apabila maut selepas motosikal dibonceng bersama abangnya terbabas dan melanggar pokok dalam kejadian di Jalan Sentral, Taman Nusa Sentral di Iskandar Puteri, semalam.

Kejadian jam 2 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Izharul Haq Abdul Mutalib yang duduk di bakul motosikal jenis Honda EX5 parah di kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 1 tengah hari, semalam.

Bagaimanapun abangnya, Muhammad Huzair Al-Hakim Abdul Mutalib, 15, yang menunggang motosikal berkenaan yang parah di bahagian sama sedang mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) akibat koma.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika motosikal dinaiki dua beradik itu dari Jalan Nusa Sentral 28 ke Jalan Nusa Sentral 27.

“Motosikal ditunggang remaja berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di tepi kanan jalan.

“Susulan kemalangan itu, dua beradik itu mengalami parah di kepala dan badan sebelum dikejarkan ke HSA oleh pihak ambulans,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di HSA pada jam 1 tengah harii semalam, manakala abangnya yang parah dirawat di ICU akibat koma.

Katanya, siasatan turut mendapati kejadian berlaku ketika remaja berkenaan membawa adiknya bersiar-siar di kawasan perumahan mereka, selain bapa mereka berniaga di kawasan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 11:08 AM