SUSPEK yang ditahan polis bersama dadah. FOTO ihsan PDRM
SUSPEK yang ditahan polis bersama dadah. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


PASANGAN kekasih ditahan ketika melepas gian dadah di belakang sebuah rumah di Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat, Langkawi, kelmarin.

Dalam serbuan 10.30 pagi, lelaki berusia 31 dan kekasihnya berusia 25 tahun itu ditahan ketika duduk di kaki lima di belakang rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pemeriksaan menemui beg kecil di atas lantai berisi empat keratan straw dan satu peket plastik lut sinar mengandungi dadah disyaki heroin seberat 3.79 gram (g) dan satu peket plastik lut sinar disyaki syabu seberat 0.1 g.

Katanya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan mendapati, mereka mengaku mengambil bekalan itu daripada lelaki dikenali ‘Mat’ sejak sebulan lalu. Dalam tempoh seminggu, mereka akan berurusan sekali ke dua kali dengan mengambil bekalan sebanyak 10 hingga 15 g,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek terbabit mendapati mereka positif morfin.

“Usaha mengesan Mat giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 11:36 AM