Dadah yang dirampas dan tiga lelaki yang disyaki tokan ditahan di Kampung Nyiur Chabang, Langkawi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Dadah yang dirampas dan tiga lelaki yang disyaki tokan ditahan di Kampung Nyiur Chabang, Langkawi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Hamzah Osman

Langkawi: Tiga lelaki yang disyaki tokan dadah ditahan polis dalam stor kosong di sebuah rumah di Kampung Nyiur Chabang di sini, hari ini.

Mereka ditahan dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada 4.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, serbuan dijalankan menerusi Op Tapis selepas menerima maklumat awam.

"Pemeriksaan di lokasi kemudiannya menemui enam bungkus plastik lutsinar berisi serbuk warna putih disyaki dadah jenis heroin seberat 275.3 gram (g) dan satu paket plastik lutsinar disyaki berisi syabu seberat 7.3 g.

"Semakan mendapat seorang suspek memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah, manakala dua rakannya masing-masing satu dan tiga rekod lampau," katanya ketika dihubungi di sini.

Shariman berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis morfin.

Dalam serbuan berasingan, seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Nilam bersama dadah heroin seberat 20.2 g dan syabu seberat 5.2 g pada 2.30 pagi.

"Keempat-empat suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 10:21 PM