Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


SAMBUTAN hari raya hari ini disambut hiba oleh dua keluarga apabila rumah mereka di Kampung Sungai Ganchong, Pekan musnah dalam kebakaran.

Kejadian 12 tengah hari itu menyebabkan dua keluarga membabitkan 15 orang tinggal sehelai sepinggang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Penolong Penguasa Bomba Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 12.20 tengah hari.

Katanya, lapan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi dan sebaik tiba dua rumah itu sudah dijilat api.

“Api marak terlalu cepat berikutan struktur rumah diperbuat dari kayu.

“Bomba mengambil masa 20 minit untuk mengawal dan memadamkan api sepenuhnya.

“Kebakaran itu menyebabkan kedua-dua rumah musnah namun ia tidak membabitkan kemalangan jiwa,” katanya.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.

Difahamkan seorang mangsa melecur dipercayai cuba menyelamatkan barangan penting di dalam rumah.

Sementara itu salah seorang ahli keluarga mangsa, Ramli Ismail, 34, berkata, rumah berkenaan didiami dua adiknya dan ketika kejadian mereka beraya di rumah ibu yang terletak di kawasan sama.

“Kejadian disedari jiran sebelum kami bergegas ke tempat kejadian, sebaik tiba api sedang marak.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan kami tidak sempat menyelamatkan barang penting,” katanya.

Katanya, walaupun sedih dengan kejadian yang berlaku ketika umat Islam lain gembira menyambut Aidilfitri, namun mereka tetap reda dan menganggap ia sudah ditentukan Tuhan.

Menurutnya, jumlah kerugian dianggarkan RM100,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 5:28 PM
Dua rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Ganchong hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Dua rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Ganchong hari ini. FOTO Ihsan JBPM