CHEAH yang melecur di bahagian lengan terkena percikan api ketika cuba padam kebakaran. FOTO Nuraliwati Sabri.
CHEAH yang melecur di bahagian lengan terkena percikan api ketika cuba padam kebakaran. FOTO Nuraliwati Sabri.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Lelaki melecur di lengan ketika cuba menyelamatkan ibu serta kakaknya dalam kebakaran membabitkan empat rumah di Bukit Piatu, di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 10.30 malam, mengakibatkan enam penghuni yang tinggal di empat rumah berusia lebih setengah abad itu tinggal sehelai sepinggang.

Pegawai Zon I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.34 malam sebelum tiga jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Melaka Tengah bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sejurus tiba, didapati api sedang marak dan merebak ke rumah ketiga ini disebabkan struktur rumah berkembar separuh kekal.

"Ketika panggilan dibuat, dimaklumkan hanya sebuah rumah sahaja yang terbakar. Api kemudian berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira 11 minit. Tiga rumah hangus 100 peratus manakala sebuah rumah hanya terjejas 30 peratus sahaja.

"Akibat kebakaran itu enam penghuni berusia antara 30 hingga 60 tahun tinggal sehelai sepinggang. Bagaimanapun punca kebakaran belum diketahui dan pasukan forensik bomba akan lakukan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.

Sementara itu, mangsa yang melecur Cheah Wei Liang, 43, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di kediamannya sebelum dikejutkan jeritan jiran mengatakan terdapat kebakaran.

"Sebaik keluar didapati kediaman bersebelahan rumah ibu terbakar. Ketika itu keluar api sudah marak dan saya bergegas ke rumah ibu untuk cuba memadam kebakaran untuk menyelamatkan ibu serta kakak tetapi tidak berjaya apabila badan terkena percikan api.

"Namun, saya bersyukur kerana kedua-dua mereka dapat keluar dan terselamat. Disebabkan api yang marak dan merebak dengan cepat tiada satu pun barangan peribadi dapat diselamatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 8:58 AM