GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Garret Dawum


LELAKI maut selepas rebah ketika menghantar barang ke pasar raya di sebuah pusat beli-belah di Miri, 3 petang hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Miri.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Mangsa yang bekerja sebagai penghantar barang rebah ketika mengangkat barang.

“Dia disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik Hospital Miri yang tiba 15 minit kemudian,” katanya.

Beliau berkata, punca kematian masih belum dipastikan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat dan polis sedang mengumpul maklumat berkenaan mangsa yang juga warga tempatan itu.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit masih belum berkahwin dan maklumat daripada keluarga juga tidak mengetahui sama ada mangsa mempunyai sejarah penyakit atau tidak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 8:36 PM