ANGGOTA polis mengiring suspek yang disyaki memukul pemandu e-hailing. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis mengiring suspek yang disyaki memukul pemandu e-hailing. FOTO ihsan polis
Garret Dawum


EMPAT lelaki warga India ditahan selepas disyaki terbabit kes pukul pemandu e-hailing di Miri, semalam.

Semua suspek berusia antara 22 hingga 26 tahun ditahan di lokasi berasingan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, suspek sudah direman bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kejadian berlaku di kedai serbaneka 24 jam pada jam 1.15 pagi ketika semua suspek yang berada dalam pengaruh alkohol bertindak memukul mangsa menggunakan botol kaca.

“Akibatnya mangsa cedera di tangan kiri, pipi dan kepala.

“Mangsa sudah mendapat rawatan di Hospital Miri dan menerima dua jahitan di bahagian yang cedera,” katanya.

Meng Seah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati mangsa kerana suspek tidak membayar tambang selepas membatalkan tempahan.

“Mangsa meminta ganti rugi kos minyak tetapi tidak dipedulikan suspek sebelum dipukul menggunakan botol arak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 3:22 PM