GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Garret Dawum


BAYI berusia lapan bulan meninggal dunia dipercayai didera ibu bapanya di Miri Selasa lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dibawa ibu bapanya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Miri pada 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, ibu bapa mangsa membawanya ke hospital selepas dikatakan berada dalam keadaan lemah sejak 5 pagi.

“Sebaik tiba di hospital, doktor mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan pada tubuh bayi itu dan disyaki akibat didera.

“Bedah siasat sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, pasangan suami isteri terbabit sudah direman semalam selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Reman dikeluarkan Majistret Md Syafique Md Hilmie semalam selepas permohonan dikemukakan pegawai penyiasat Asisten Superintendan Soliment Nyian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 5:23 PM