GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

LELAKI warga Britain dilaporkan meninggal dunia selepas mengadu tidak sihat ketika dikuarantin di sebuah hotel di Miri, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, Thomas Holmes, 48, meninggal dunia lebih kurang 3.30 petang di Bahagian Kecemasan Hospital Miri.

"Si mati dihantar ke Hospital Miri menggunakan ambulans selepas mengadu tidak sihat kepada anggota Medic Shell berada di hotel berkenaan.

"Ujian swab Covid-19 dilakukan ke atas si mati pada tarikh kematian dan disahkan negatif," kata Lim dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, bedah siasat akan dilakukan ke atas mayat Holmes dalam masa terdekat.

Pengurus projek Tai Crest Resources Sdn Bhd itu tiba di Miri pada 4 Jun lalu dari Kuala Lumpur atas urusan kerja dan ditempatkan di hotel itu untuk dikuarantin selama sembilan hari.

Seorang pengurus syarikat itu di Miri membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri pada 4.49 petang hari ini selepas dimaklumkan ketuanya dari ibu pejabat di Kuala Lumpur mengenai kematian Holmes pada lebih kurang 11 pagi Sabtu lalu.

Menurut Lim, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 10:28 PM