GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


DUA beranak antara empat lelaki ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam 11 kes samun di sekitar Seberang Perai dan Kedah.

Mereka ditahan dalam tiga serbuan berasingan pada 2 Mac lalu dan kini ditahan reman sehingga 9 Mac.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, semua suspek mengaku terbabit jenayah itu sejak 2018 untuk mencari duit mudah membeli dadah.

Katanya, penahanan pertama membabitkan dua beranak berusia 40 tahun dan 17 tahun dalam kereta di Tasek Gelugor pada 3.10 pagi, 2 Mac lalu.

“Ketika itu kedua-duanya dipercayai sedang merancang untuk menyamun di kawasan sekitar.

“Susulan penahanan mereka, polis berjaya memberkas dua lagi suspek berusia 30 dan 28 tahun pada hari sama di dua lokasi berasingan sekitar Sungai Petani, Kedah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noorzainy berkata, Mengulas lanjut Noorzainy berkata, siasatan terhadap tangkapan pertama mendapati mereka adalah rakan kepada suspek yang ditahan dalam serbuan kedua.

“Mereka pernah melakukan samun terhadap warga emas yang tinggal sendirian di rumah, pecah tabung masjid dan samun jalanan dengan melarikan motosikal di sekitar Butterworth dan Kedah.

“Suspek tangkapan kedua pula berperanan membantu suspek tangkapan pertama dalam urusan jual beli barangan yang disamun selain menguruskan kenderaan bagi kegunaan mereka semasa melakukan kegiatan itu,” katanya.

Susulan penahanan itu Noorzainy berkata, pihaknya merampas dua kereta, tiga motosikal, senjata seperti parang, pisau dan cangkul dan beberapa barangan lain seperti telefon bimbit dan besi pemutar.

Nilai kerugian daripada kejadian samun dianggarkan RM100,000 manakala, nilai rampasan RM30,000.

“Ujian air kencing terhadap suspek mendapati keempat-empat mereka positif dadah dan mereka disiasat mengikut Seksyen 395/397, Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 4:47 PM