KEADAAN treler yang terbalik selepas terbabas. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN treler yang terbalik selepas terbabas. FOTO Ihsan Bomba
Farah Suhaidah Othman


LELAKI maut manakala isteri dan dua anaknya parah selepas treler dinaiki terbabas sebelum merempuh pokok dan terbalik di Kilometer 309.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Kampar, hari ini.

Dalam kejadian 5 pagi itu, mangsa, Mohd Suffian Mahathir, 28, yang juga pemandu treler meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, Siti Hasfa Suhaila Othman, 26 patah tulang bahu kiri.

Difahamkan, dua anak pasangan itu iaitu Muhamad Kusyairi, 5, dan Intan Nur Syazwina, 4 masing-masing patah tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan mendapati treler yang membawa muatan barangan runcit itu dalam perjalanan dari Pendang, Kedah ke Johor.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, treler dipandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri lebuh raya.

“Akibat gagal dikawal, treler berkenaan merempuh pokok sebelum terbalik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasron Nazri berkata, mangsa yang meninggal dunia kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kampar untuk bedah siasat, manakala tiga yang parah dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan berkenaan mempunyai dua lorong dan keadaan ketika kejadian gelap dan tiada lampu jalan.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 2:52 PM