ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
Rosman Shamsudin


PEMANDU treler maut dalam kemalangan di Kilometer 305.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara jam 2.30 pagi tadi.

Mangsa, Mohamad Rashidi Zainudin, 32, berasal dari Kamunting maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi pemandu berumur 51 tahun tidak mengalami kecederaan.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar dan BBP Tapah dikejarkan di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila treler dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah treler yang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Pulau Pinang.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh maut di tempat kejadian.

“Akibat kejadian itu, bahagian depan treler dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk, manakala sebuah lagi treler rosak di belakang dan tayar kiri pecah.

“Sampel darah mangsa dan seorang lagi pemandu diambil untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia, ” katanya ketika dihubungi, dekat sini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 11:53 AM