SEBELAS aset TLDM termasuk kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan 3,000 anggota terbabit dalam siri latihan.
SEBELAS aset TLDM termasuk kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan 3,000 anggota terbabit dalam siri latihan.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KUANTAN: Bunyi tembakan misil Exocet MM Block II memecah kesunyian Laut China Selatan yang dilepaskan dari Kapal Diraja (KD) Kasturi sebagai simbolik kepada kemuncak Eksesais Kerismas 26/2019 dan Eksesais Taming Sari 19/2019.

Tidak cukup dengan itu, tembakan misil Sea Skua turut menggegarkan ruang samudera negara sebaik ia dilancarkan dari helikopter Super Lynx milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TLDM).

Pastinya dua tembakan peluru berpandu ini menguja dan mengagumkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang berpeluang menyaksikan kehebatan persenjataan milik TLDM yang dipamerkan dalam eksesais kali ini.

Eksesais Kerismas 26/2019 membuka lembaran baru buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila ia dihidupkan kembali selepas 14 tahun tidak dilaksanakan.

Latihan terbesar dalam sejarah TLDM itu kali terakhir diadakan pada 2005 yang mana ia kembali diadakan selama 11 hari sejak 1 Julai lalu.

HELIKOPTER Super Lynx melancarkan misil Sea Skua.
HELIKOPTER Super Lynx melancarkan misil Sea Skua.

Sebaik selesai, Eksesais Taming Sari pula diteruskan pada 12 Julai hingga hari ini untuk menguji tahap kesiapsiagaan armada laut negara meliputi seluruh aspek mahupun operasi taktikal.

Eksesais yang diadakan secara berterusan membabitkan 11 aset TLDM termasuk kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan membabitkan 3,000 anggota.

Latihan itu turut membabitkan penggunaan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu pesawat Sukhoi SU-30MKM, pesawat EC725 dan B200T

Aset strategik TLDM seperti KD Lekiu, KD Kasturi, helikopter Super Lynx dan Fennec sudah tentu menjadi tumpuan apabila mempamerkan ‘kegagahan’ masing-masing dalam eksesais itu.

Armada TLDM yang digerakkan dalam latihan ketenteraan mula belayar ke kawasan ditetapkan pada 4 Julai lalu dan melalui latihan seperti dirancang hingga merapat semula di Tambatan Pangkalan Kuantan.

SASARAN dimusnahkan Helikopter Super Lynx.
SASARAN dimusnahkan Helikopter Super Lynx.

Dalam latihan itu keupayaan aset TLDM nyata diuji dengan pelbagai aspek dimensi peperangan termasuk melalui kawasan periuk api, navigasi, ilmu kelautan, persenjataan, komunikasi dan taktik peperangan maritim.

Latihan yang diterapkan bukan saja memastikan aset TLDM berada dalam keadaan terbaik, malah menguji kesiapsiagaan warga The Navy People tatkala semboyan dibunyikan.

Sudah tentu pembabitan Panglima TLDM, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany yang menyertai pelayaran bagi melihat sendiri kemampuan dan kecekapan warga armada TLDM sedikit sebanyak menyuntik semangat pegawai dan anggota di lapangan latihan serta untuk melengkapkan eksesais dengan jayanya.

Mohd Reza juga berharap eksesais yang dilaksana dapat mencapai objektif spesifik seperti yang digariskan dan seterusnya berupaya mempersiapkan armada bagi menangani sebarang bentuk ancaman sama ada konvensional atau sebaliknya.

Mengulas mengenai demostrasi penembakan peluru berpandu, katanya, biarpun bukan suatu perkara yang luar biasa, namun bagi TLDM ia begitu penting dalam membuktikan keupayaan sebenar kuasa tempur TLDM kepada masyarakat umum dan negara serantau.

EKSESAIS Kerismas 26/2019 dan Eksesais Taming Sari 19/2019 uji kesiapsiagaan anggota TLDM.
EKSESAIS Kerismas 26/2019 dan Eksesais Taming Sari 19/2019 uji kesiapsiagaan anggota TLDM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 5:50 AM