SITI Zailah, gambar fail. FOTO Bernama
SITI Zailah, gambar fail. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan perkhidmatan bagi pengurusan kanak-kanak positif atau kontak rapat pesakit Covid-19.

Timbalan Menterinya Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ia merangkumi Intervensi Psikologi dan Kaunseling, seperti Kaunseling Individu, Kaunseling Kelompok dan Terapi Psikologi.

Katanya, selain itu pihaknya juga menyediakan Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi Intervensi termasuk Pengurusan Tekanan dan Trauma serta Pertolongan Cemas Psikologi (Psychological First Aid - PFA), Debriefing Psychology, Grief Psychology dan Psiko-Pendidikan, Program Psiko-Spiritual serta Art Therapy.

"Perkhidmatan sokongan yang disediakan adalah seperti peralatan bantuan bagi menjalankan sesi kaunseling di Pusat Kuarantin Khas Kanak-Kanak Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Maeps.

"Program Kaunseling akan dijalankan oleh kaunselor KKM," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Razali Idris yang meminta kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan pusat kuarantin khas untuk kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 bagi memastikan isu kebajikan dan perkembangan emosi sosial tidak terjejas.

Katanya, kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan Standard Prosedur Kerja bagi tempat kuarantin kanak-kanak dan perkhidmatan kepada kanak-kanak yang dikuarantin.

"Pada masa ini terdapat 134 buah Pusat Kuarantin yang sedang beroperasi di seluruh negara berdasarkan maklumat daripada Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sehingga 12 Oktober 2021.

"Pelaksanaan kuarantin bagi golongan dewasa dan kanak-kanak adalah di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Bagi tujuan ini KKM mengambil inisiatif dengan mewujudkan ruang kuarantin khas untuk kanak-kanak di PKRC MAEPS, Serdang, Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 12:45 PM