GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Polis menerima laporan berhubung kejadian 14 pelajar lelaki dicabul seorang rakan mereka di asrama sebuah sekolah menengah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, laporan dibuat pengetua sekolah terbabit bagi meminta siasatan dijalankan.

Menurutnya, kesemua 14 pelajar lelaki berusia lingkungan 13 hingga 14 tahun itu terdiri dari orang kurang upaya (OKU) dari segi masalah pembelajaran, penglihatan, pendengaran dan autistik.

"Pengetua sekolah terbabit melaporkan 14 mangsa dicabul seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun yang juga seorang OKU di asrama sekolah itu.

"Suspek ditahan semalam bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 9:33 PM