DATUK Seri Rina Mohd Harun. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Rina Mohd Harun. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Mamat
am@hmetro.com.my


Melaka: Kerajaan mahu memperkasakan lagi semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) bagi orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara bagi mendidik golongan berkenaan meningkatkan keupayaan serta pengurusan diri.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, langkah terbabit selari dengan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang mengutamakan aspek pendidikan awal kanak-kanak bagi golongan terbabit.

Menurutnya, untuk tujuan terbabit kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta tahun ini bagi semua 13 TASKA OKU seluruh negara bagi melaksanakan program pendidikan secara berkesan serta menepati kehendak kerajaan.

"Sehingga kini, kerajaan sudah menyalurkan peruntukan berjumlah RM3.148 juta kepada 13 TASKA OKU seluruh negara dengan harapan bantuan terbabit dapat membantu pengusahanya dalam memastikan kesejahteraan kehidupan dan pengurusan diri kanak-kanak OKU terjamin.

"Pendekatan intervensi yang berterusan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui kerjasama dengan Persatuan Kebajikan Sukarela (PSK) dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak yang holistik dapat diperluaskan bagi memastikan golongan itu diberi ruang dalam pendidikan serta mendapat kesaksamaan hak dan peluang seperti kanak-kanak lain," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan TASKA OKU Ikhlas di Bangunan Yayasan Toh Puan Zurina (YTPZ), Peringgit di sini, hari ini.

Di majlis itu, Rina turut menyampaikan Bantuan Geran Pelancaran berjumlah RM500,000 kepada Persatuan Insan Berkeperluan Khas (Ikhlas) yang mengendalikan TASKA OKU berkenaan.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka Datuk Wira Latipah Omar serta Penaung Persatuan Ikhlas Datuk Dr Yasmin Hussain.

Sehubungan itu, Rina berkata, pihaknya menggalakkan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta untuk membuka lebih banyak taman TASKA OKU yang dilihat sangat penting bagi membantu kanak-kanak berkeperluan khas khususnya dalam program intervensi awal, di samping mendapat pengasuhan urus diri demi kelangsungan kehidupan mereka.

Katanya, kementeriannya juga akan sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk menubuhkan TASKA terbabit dengan menyediakan geran tahunan selain beberapa lagi bentuk bantuan.

"Kita menyambut baik penubuhan TASKA OKU untuk kanak-kanak berkeperluan khas ini kerana dengan program seperti ini, ia bukan sahaja membantu kanak-kanak itu sendiri tetapi kepada ibu bapa mereka.

"Jika di rumah, mungkin kanak-kanak itu tidak dapat dibentuk dengan sistem pembelajaran seperti di TASKA yang saya lihat sangat baik untuk membina keyakinan diri kerana pelbagai teknik sudah disediakan oleh guru yang pakar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 3:15 PM