Jenazah Adam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lemal 11 pagi tadi. FOTO Syaherah Mustafa
Jenazah Adam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lemal 11 pagi tadi. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


“MAMAJI anak yang baik, tersangat baik dan saya reda dengan pemergiannya,” itu luahan Mahamed Ismail Mohamed Yusoff, 69, bapa Mohamad Adam, 29, yang meninggal dunia hari ini.

Chef Selebriti yang juga dikenali sebagai Adamdidam meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan kuman paru-paru di kediaman keluarganya di Telipot, Kota Bharu, 4 pagi tadi.

Mahamed Ismail berkata, anak bongsu daripada lima adik itu lebih mesra dipanggil Mamaji dalam kalangan keluarga selain sangat rapat dengan lapan anak saudara terutama Fatimah Omar Mukhlis, anak kecil yang popular di laman sosial Instagram.

Katanya, sepanjang hayat, anaknya tidak pernah menyusahkannya dan isteri, Bibi Aishah Hukum Khan, 57, malah adik beradik lain sangat menyenangi arwah.

“Kali terakhir berbual dengan saya, anak sempat meminta supaya sentiasa mendoakan kesejahteraannya selepas dia jatuh sakit sejak sebulan lalu bermula dengan hanya demam panas.

“Adam disahkan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan kami sekeluarga mengambil keputusan memintanya berehat di rumah dan mengurangkan aktiviti penggambaran,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Lemal, Pasir Mas hari ini.

Jenazah disembahyangkan 150 jemaah termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan di Masjid Telipot, Kota Bharu dan selamat dikebumikan 11.05 pagi tadi.

Sementara itu, kakak sulung arwah, Nor Ashmiza, 43, yang juga pensyarah di United Kingdom (UK) sudah pulang ke tanah air sejak sebulan lalu selepas arwah jatuh sakit untuk menjaganya.

Katanya, dia berasa sedih kerana kehilangan adik bongsu yang sangat baik kepada keluarga namun reda dengan ketentuan Ilahi.

“Arwah kuat semangat malah sepanjang jatuh sakit, dia turut bekerja menyiapkan beberapa penggambaran sehingga saat akhir.

“Setiap manusia yang hidup pasti mati. Saya memohon semua mendoakan adik saya semoga dia ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Berita berkaitan

Chef selebriti Adamdidam meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 12:52 PM