ARWAH terlantar sejak September lalu akibat masalah tulang belakang. FOTO Nik Abdulah Nik Omar
ARWAH terlantar sejak September lalu akibat masalah tulang belakang. FOTO Nik Abdulah Nik Omar
Nor Amalina Alias


BEKAS penjaga gol bola sepak Kebangsaan meninggal dunia akibat kanser tahap empat dan sakit tulang belakang di Kubang Kerian, 4 pagi hari ini.

Allahyarham Awang Essa, 72, penjaga gol Kebangsaan dan Kelantan pada 1960-an meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sisi keluarga.

Anaknya, Siti Fatihah, 32, yang juga wartawan Sinar Harian berkata, arwah sebelum ini menghidap sakit tulang belakang sejak hujung tahun lalu sehingga tidak mampu bangun dari katil serta disahkan menghidap kanser tahap empat.

Katanya, arwah dimasukkan ke HUSM beberapa kali sejak September lalu bagi mendapatkan rawatan dan terakhir dimasukkan ke hospital itu sejak 19 Januari lalu.

“Doktor memaklumkan arwah Abah sakit kanser tahap empat tetapi tidak mengetahui jenis penyakitnya selain sakit tulang belakang.

“Arwah sepatutnya meraikan hari lahir esok (26 Februari) dan sempat pesan pada anak-anak untuk membeli kek dan diberikan kepada doktor dan jururawat yang menjaganya namun Allah SWT lebih menyayanginya apabila dia pergi ketika tidur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telipot, Kota Bharu, hari ini.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Telipot dan lebih 200 kenalan arwah yang memberi penghormatan terakhir.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak serta akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, petang ini.

Awang adalah Penjaga Gol Malaysia pada 1969 dan juga dikenali dengan panggilan Abe Mat Bola.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 2:23 PM