GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my

Butterworth: Zakat Pulau Pinang (ZPP) menguruskan bayaran agihan zakat secara berhemah dengan mengutamakan kepentingan golongan asnaf lebih memerlukan terutamanya yang terhimpit ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, pihaknya mengakui berlaku kemerosotan jumlah kutipan zakat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac lalu.

Berikutan itu, katanya, pengurusan ZPP berdepan cabaran baharu dalam mengagihkan kutipan zakat dengan meletakkan golongan yang terkesan ekoran Covid-19 serta fakir miskin sebagai keutamaan.

"Kita dapati dalam sembilan bulan pertama ini berlaku peningkatan jumlah penerima zakat iaitu 10,000 orang yang kita percaya mereka adalah golongan yang terjejas teruk ekoran Covid-19.

"Selain agihan kepada fakir miskin keutamaan kita juga kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman menyampaikan replika cek kepada pengurusan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) pada Majlis MinumPetang bersama Guru KAFA Pulau Pinang di Hotel Ixora, Perai. FOTO Nur Izzati Mohamad
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman menyampaikan replika cek kepada pengurusan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) pada Majlis MinumPetang bersama Guru KAFA Pulau Pinang di Hotel Ixora, Perai. FOTO Nur Izzati Mohamad

"Oleh itu, kita cuba bahagikan dengan berhemah dan mengawal perbelanjaan program zakat yang dijalankan supaya agihan tidak beri kesan kepada mereka yang layak," katanya selepas menghadiri Majlis Meraikan 288 Guru Kelas Al Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Perai, di sini, semalam.

Dalam majlis itu, ZPP menyampaikan peruntukan sumbangan elaun tambahan untuk guru KAFA negeri itu berjumlah RM3.015 juta.

Majlis penyampaian disempurnakan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman.

Peruntukan itu membabitkan sumbangan sebanyak RM150 kepada guru dan RM200 kepada guru besar.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, kerajaan negeri prihatin terhadap institusi pendidikan agama khususnya sekolah agama rakyat.

"Peruntukan RM3.015 juta yang disediakan oleh ZPP adalah melalui dana bantuan agihan fi sabilillah.

"Selain itu, Belanjawan 2021 Pulau Pinang yang diluluskan baru-baru ini antara lain meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM64.16 juta bagi tujuan pembangunan, baik pulih, penyelenggaraan serta kelengkapan institusi keagamaan di negeri ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 1:29 PM