Oleh Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Zakat Pulau Pinang (ZPP) optimis mencapai sasaran kutipan zakat RM122.4 juta menjelang akhir tahun ini walaupun keadaan ekonomi semasa kurang baik ekoran pandemik Covid-19.

Setakat ini, kutipan zakat diperoleh adalah sekitar RM110 juta dan dijangka akan terus meningkat apabila banyak syarikat menunaikan kewajipan membayar zakat perniagaan bagi tahun penutup kewangan tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya bersyukur walaupun dalam keadaan pandemik masih ramai tampil menunaikan tanggungjawab biarpun kutipan agak perlahan.

"Sasaran kutipan pada tahun ini hampir sama pada tahun lalu berikutan kita terpaksa menyemak semula nilai sasaran berikutan keadaan ekonomi yang tidak stabil disebabkan Covid-19.

"Kita bersyukur dengan keadaan tidak menentu ini ramai individu dan pihak syarikat tampil membayar zakat sekali gus optimis untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Ditambah pula ZPP berjaya melaksanakan strategi baharu dalam memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menunaikan kewajipan membayar zakat walaupun kita sedang berdepan kemelut pandemik ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Minum Petang bersama Pembayar Zakat Korporat di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, ZPP menerima zakat perniagaan berjumlah RM969,628.52 daripada lima badan korporat yang beroperasi di negeri ini.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Menteri 1 Pulau Pinang, berkata beliau meletakkan harapan kutipan zakat pada tahun hadapan dapat menyamai sasaran tahun ini.

"Sebenarnya jika diikutkan pada tahun ini kutipan zakat kurang terjejas berikutan banyak syarikat menunaikan tanggungjawab membayar zakat perniagaan mereka untuk keuntungan tahun lalu.

"Jadi keuntungan pada tahun ini sudah pasti terjejas dan ia akan diterjemahkan pada kutipan zakat tahun hadapan yang mana kita berharap ia tidaklah seteruk yang disangka serta berharap walaupun tiada peningkatan sekurang-kurangnya dapat menyamai kutipan sebelumnya," katanya.

Jelasnya, ZPP turut komited dalam membantu individu yang terjejas dalam pandemik Covid-19 yang mana hampir 10,000 penerima baharu yang terkesan menerima bantuan daripada agensi itu.

Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (empat dari kanan) bergambar dengan pembayar zakat korporat ketika Majlis Minum Petang di Penang Golf Resort Bertam, Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (empat dari kanan) bergambar dengan pembayar zakat korporat ketika Majlis Minum Petang di Penang Golf Resort Bertam, Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 7:01 PM