FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nur Izzati Mohamad


MAJLIS Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menetapkan dua kadar bayaran zakat fitrah di negeri ini iaitu RM7 dan RM16 mengikut kemampuan individu.

Kadar bayaran itu ditetapkan selepas mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang sekali gus ia sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, penetapan dua kadar bayaran itu untuk memberi peluang kepada umat Islam yang memiliki kemampuan untuk menunaikan zakat fitrah pada kadar RM16.

Menurutnya, bagi mereka yang tidak berkemampuan dan mempunyai banyak tanggungan boleh membayar zakat fitrah pada kadar RM7 seperti tahun lalu.

“MAINPP sedar bahawa penularan wabak Covid-19 yang masih belum pulih sejak beberapa minggu lalu memberi kesan kepada pendapatan isi rumah sebahagian umat Islam di negeri ini.

TIMBALAN Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (tengah) ketika mengumumkan kadar bayaran zakat fitrah di Pulau Pinang iaitu RM7 dan RM16 pada sidang media di Ibu Pejabat Zakat Pulau Pinang (ZPP) Bandar Perda, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad
TIMBALAN Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (tengah) ketika mengumumkan kadar bayaran zakat fitrah di Pulau Pinang iaitu RM7 dan RM16 pada sidang media di Ibu Pejabat Zakat Pulau Pinang (ZPP) Bandar Perda, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad

“Oleh itu, bagi golongan yang terjejas kemampuan kerana bilangan tanggungan yang ramai, maka bayarlah zakat fitrah mengikut kadar RM7.

“Manakala bagi mereka yang mempunyai pendapatan lebih adalah digalakkan untuk membayar zakat fitrah pada kadar RM16,” katanya pada sidang media di Bukit Mertajam, hari ini.

Tahun lalu, kutipan zakat fitrah di Pulau Pinang merekodkan RM5.06 juta dan dijangkakan lebih RM7 juta dapat dikutip pada tahun ini.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, berkata, zakat fitrah perlu dibayar kepada amil yang sah dan dilantik oleh MAINPP mengikut Seksyen 16, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

“Tahun ini, seramai 1,755 amil dilantik oleh MAINPP membabitkan 239 kariah.

“Namun, sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan hingga Ramadan, umat Islam digalakkan membuat bayaran atas talian menggunakan aplikasi dan beberapa kaedah digital yang akan diumumkan kelak.

“Jangan bimbang untuk membuat bayaran menggunakan kaedah ini jika tidak mempunyai akad kerana akad itu hanya sunat,” katanya

Katanya, kaedah bayaran konvensional tetap diteruskan bagi mereka yang tidak mempunyai akses atau tidak mahir dengan teknologi, namun caranya akan dimaklumkan kelak.

“Kita akan bermesyuarat sama ada akan membuka sebahagian masjid untuk tujuan bayaran zakat fitrah yang mana kita akan mematuhi segala arahan dengan mengutamakan penjarakan sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 1:06 PM