AHMAD Zakiyuddin (kiri) bersama Amran Hazali menunjukkan tiga kadar bayaran zakat fitrah, iaitu RM7, RM13 dan RM20 ketika sidang media pada Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah Pulau Pinang 2022. FOTO Danial Saad
AHMAD Zakiyuddin (kiri) bersama Amran Hazali menunjukkan tiga kadar bayaran zakat fitrah, iaitu RM7, RM13 dan RM20 ketika sidang media pada Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah Pulau Pinang 2022. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sekali lagi menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah tahun ini iaitu RM7, RM13 dan RM20.

Kadar itu ditetapkan selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang Dipertua MAINPP Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, penetapan tiga kadar bayaran berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada umat Islam negeri ini yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan menunaikan kewajipan zakat fitrah mengikut kadar yang lebih tinggi.

Bagaimanapun katanya, bagi mereka yang tidak berkemampuan dan mempunyai tanggungan ramai boleh membuat bayaran zakat pada kadar RM7 seperti yang ditetapkan pada tahun lalu.

"Kadar tertinggi itu ditetapkan bagi mereka yang makan jenis beras berkualiti tinggi seperti Bastmathi dan setara dengannya.

"Bagi kumpulan majoriti yang memakan beras jenis super special tempatan lima peratus, super special tempatan 10 peratus, beras tempatan standard, beras tempatan premium atau lain-lain setara dengannya ditetapkan kadar RM7 seorang.

"Kadar bayaran RM13 pula dikhususkan bagi kumpulan yang memakan beras wangi, beras pulut atau yang setara dengannya," katanya pada sidang media selepas Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah di Hotel The Light Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan dapat mengutip zakat fitrah sebanyak RM6.5 juta bagi tahun ini berbanding RM6.02 juta tahun lalu.

"Walaupun dalam situasi pandemik Covid-19 Zakat Pulau Pinang (ZPP) masih berjaya mengutip zakat fitrah sebanyak RM6.02 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu RM5.6 juta yang tahun ini juga diharapkan mampu mengutip zakat fitrah seperti yang disasarkan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, tahun ini seramai 1,709 amil ditauliahkan di seluruh Pulau Pinang dan 234 kariah ditetapkan sebagai pusat kutipan.

"Kita dapati pada tahun lalu ramai yang memilih untuk membayar zakat secara bersemuka, namun kita terus untuk menggalakkan pembayaran dibuat melalui dalam talian atau beberapa platform aplikasi digital yang disediakan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, pihaknya berjaya mengutip RM147.2 juta zakat secara keseluruhannya sepanjang tahun lalu dengan jumlah pembayar zakat seramai 74,183 orang.

Katanya, jumlah kutipan itu meningkat sebanyak 12.5 peratus berbanding kutipan pada tahun 2020 iaitu sebanyak RM130.8 juta dengan membabitkan seramai 70,677 pembayar zakat.

"Bagi agihan dana pula, sebanyak RM141.5 juta zakat diagihkan sepanjang tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 11.8 peratus berbanding RM126.6 juta pada tahun 2020," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 3:14 PM