YASIN, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
YASIN, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


Petaling Jaya: Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman kelihatan cemas dan terkejut ketika unit kediamannya di sebuah kondominium di Damansara diserbu polis, Mac tahun lalu.

Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin, 42, memberitahu Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, Yasin berkelakuan sedemikian selepas dia dan beberapa anggota lain memperkenalkan diri sebagai polis.

"Selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis, tertuduh yang sedang berdiri dilihat cemas serta terkejut (dengan kehadiran polis). Ketika serbuan hanya tertuduh seorang berada di dalam rumah itu," katanya.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian dalam pemeriksaan utama ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengenai keadaan Yasin ketika serbuan dilakukan.

Katanya, meskipun Yasin kelihatan cemas dan terkejut, penyanyi lagu Mimpi Laila itu tetap memberikan maklum balas dan kerjasama yang baik kepada polis.

Terdahulu Darwis ketika membaca penyataan saksinya berkata, pada 24 Mac tahun lalu, jam lebih kurang 5.30 petang, dia bersama pasukan serbuan tiba di hadapan sebuah rumah di kondominium itu dan mendapati pintu jeriji besi hadapan dan pintu kayu utama rumah tertutup rapat dan berkunci.

"Khuatir barang kes dilupuskan saya arahkan Lans Koperal Yusri untuk mengumpil pintu jeriji besi dan kemudian mengarahkan Sarjan Allif untuk memecahkan pintu kayu utama rumah itu. Selepas pintu jeriji besi dan pintu kayu utama rumah berjaya dibuka, saya dan pasukan serbuan masuk ke dalam rumah, saya memperkenalkan diri sebagai polis dengan menunjukkan kad kuasa dan tahan seorang lelaki Melayu (selepas ini dikenali sebagai tertuduh) di hadapan pintu masuk utama dalam rumah itu.

"Dengan disaksikan oleh tertuduh dan saksi polis yang hadir, saya buat pemeriksaan di bahagian dapur rumah dan menemui satu bekas plastik berwarna biru dan hitam dari atas kabinet dapur," katanya.

Mengulas lanjut saksi itu berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam bekas plastik menemui satu plastik lut sinar bertulis Diamond di dalamnya berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah ganja (berat 74 gram) dan satu plastik lut sinar bertulis Diamond yang berisi leraian daun kering disyaki ganja (berat 140 gram) di dalam bekas plastik itu dengan jumlah keseluruhan dadah seberat 214 gram.

"Kami kemudian melakukan pemeriksaan di bahagian ruangan dapur dan menemui satu almari kain berwarna hitam dan di dalamnya terdapat tiga pokok dalam pasu disyaki pokok ganja.

"Turut dirampas dalam ruangan almari itu, satu botol cecair pemusnah serangga, satu alat pengukur kandungan PH air, satu alat penyukat suhu, satu lampu grow light, dua lampu led, dua lampu Iimpah dan satu alat menyiram tanaman. Selain itu satu alat pengudaraan yang disambungkan ke almari kain itu, pemeriksaan seterusnya dalam bilik pertama sebelah kiri rumah menemui 13 pokok dalam pasu disyaki pokok ganja dalam almari pakaian itu," katanya.

Kata saksi itu lagi, pemeriksaan di ruangan balkoni rumah kemudian menemui satu pokok dalam pasu disyaki pokok ganja dan turut dirampas dari atas meja bahagian ruang rumah itu adalah pasport milik tertuduh bernama Muhammad Yasin Sulaiman dan barangan peribadi lain.

Sementara itu, Darwis ketika ditanya mengenai keadaan almari yang ditemui, saksi itu memaklumkan almari itu berfungsi dengan baik ketika serbuan yang mana lampu dalam almari menyala dengan satu alat pengudaraan juga turut dipasang.

Raja Zaizul: Ada keluar bau apa-apa?

Darwis: Ketika serbuan saya masuk ke bahagian dapur, saya hidu bau ganja.

Selesai disoal pihak pendakwaan, saksi itu tidak disoal balas oleh peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin.

Mengikut pertuduhan pertama, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, 5.30 petang pada 24 Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Sementara bagi pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, 11.05 malam pada tarikh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 3:31 PM