ADZLI (kanan) menunjukkan kenderaan yang dirampas susulan penahanan Geng Man Askar termasuk ketuanya. FOTO Nor Farhani Che Ad.
ADZLI (kanan) menunjukkan kenderaan yang dirampas susulan penahanan Geng Man Askar termasuk ketuanya. FOTO Nor Farhani Che Ad.
Nor Farhani Che Ad


SINDIKET curi kenderaan didalangi Geng Man Askar tumpas selepas polis menahan ketuanya dan lima anggotanya dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Sungai Petani dan Kuala Ketil, Baling.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mereka ditahan Pasukan Khas Lejang dalam operasi yang bermula 1 Mei lalu.

Katanya, semua ahli kumpulan itu berusia 19 hingga 40 tahun, manakala ketuanya berusia 33 tahun dipercayai aktif melakukan jenayah sejak 2015.

“Siasatan mendapati mereka mencuri kereta, motosikal dan van di sekitar Kuala Muda, Yan, Sik dan Alor Setar bagi tujuan melakukan jenayah lain termasuklah mencuri lembu di Sik dan Baling.

“Dua daripadanya ditahan di sebuah bengkel haram yang dipercayai menjadi lokasi mengubah suai kenderaan curi dekat Zon Kenanga, Amanjaya Sungai Petani.

“Manakala empat lagi ditahan secara berasingan di Bukit Selambau dan Kuala Ketil sehingga baru-baru ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di Sungai Petani, hari ini.

Adzli berkata, hasil serbuan membolehkan 11 kenderaan dirampas membabitkan enam kereta, tiga motosikal, satu van, sebuah enjin motosikal dan peralatan membuat nombor enjin dan nombor casis kenderaan.

Katanya, usaha menjejaki dua lagi anggota kumpulan itu dikenali Megat Indra Abd Wahab, 33, dan Mohamad Idzuan Zahidi, 29, sedang giat dilakukan.

“Selepas reman lapan hari berakhir minggu lalu, suspek diserahkan kepada IPD Sik untuk siasatan kes berkaitan.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 379A, Seksyen 34, Seksyen 411 dan Seksyen 29(1) Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut menahan lima lelaki warga asing berusia 21 hingga 52 tahun di ladang Estet Getah Taytex, Bedong, 26 April lalu kerana memiliki kenderaan curi.

“Empat daripada mereka adalah warganegara Nepal dan seorang lagi Nepal ditahan bersama lima motosikal Honda EX5 yang dilaporkan hilang sekitar Kuala Muda, Bukit Mertajam dan Alor Setar.

“Hasil soal siasat, mereka mengaku membeli motosikal itu daripada seorang lelaki pada harga antara RM200 hingga RM300,” katanya yang memberitahu mereka disiasat Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 kanun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 5:59 PM