Nor Farhani Che Ad


POLIS yakin menyelesaikan sekurang-kurang enam kes pecah rumah, samun bersenjata dan curi kenderaan sejak tahun lalu di sekitar Kuala Muda dengan penangkapan dua ahli Geng Alai 12 Ogos lalu.

Lelaki berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 pagi selepas polis menahan sebuah kereta yang dilihat mencurigakan di lampu isyarat Jalan Kampung Baru, Sungai Petani.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata polis mengekori kereta suspek sebelum mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan, bagaimanapun pemandu kereta bertindak memecut kenderaan.

"Kereta dinaiki suspek kemudian terbabas di Kawasan Perindustrian Ringan Taman Kempas dan dua lelaki yang berada di dalam kenderaan itu berjaya ditangkap.

"Polis turut membuat rampasan membabitkan peralatan pecah rumah dan curi kenderaan selain beberapa senjata seperti parang serta sejumlah dadah syabu," katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Adzli berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai turut terbabit dalam enam kes curi sarang burung di daerah Kuala Muda.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek itu juga adalah individu yang dikehendaki polis dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

ASISTEN Komisioner Adzli Abu Shah (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas dalam tangkapan ke atas dua suspek pada 12 Ogos lalu. FOTO Nor Farhani Che Ad
ASISTEN Komisioner Adzli Abu Shah (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas dalam tangkapan ke atas dua suspek pada 12 Ogos lalu. FOTO Nor Farhani Che Ad

Dalam pada itu, Adzli berkata, melalui siasatan yang dilakukan suspek turut mendedahkan dua lagi rakan mereka yang masih bebas dikenali sebagai Tang Aik Teong, 38, dan Teh Kim Hee, 46.

Beliau berkata, pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung dua suspek yang masih bebas itu untuk menyalurkan ke balai polis berdekatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958, Seksyen 28 (i) Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 3:09 PM