NORAHANNIE menunjukkan kecederaan yang dialami ibunya.
NORAHANNIE menunjukkan kecederaan yang dialami ibunya.
Nor Amalina Alias


KOTA BHARU: “Saya hanya mampu menjerit sebaik melihat anak digilis kereta,” kata Mariam Abdullah, 57, yang terbabit kemalangan selepas pulang bertarawih di Kampung Chedok, Ayer Lanas, Jeli, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam, Mariam cedera ringan di kepala manakala anaknya, Nor Hazeren Mohd Yusoff, 18, patah tulang belakang dan rusuk serta cedera di kepala.

Kini, keadaan kesihatan Nor Hazeren semakin stabil selepas menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Mariam berkata, ketika kejadian dia bersama anaknya dalam perjalanan pulang selepas solat Tarawih di surau berhampiran sebelum sebuah motosikal dari Ayer Lanas merempuh mereka dari depan.

“Kami berdua melambung sebelum terjatuh di atas jalan. Saya kerah kudrat dengan menjerit sekuat hati meminta anak lari kerana bimbang dirempuh kenderaan lain.

“Malangnya, datang sebuah kereta dari arah belakang terus menggilis anak dan terseret beberapa meter depan mata saya sebelum kereta itu meninggalkan lokasi kejadian.

“Saya hanya mampu menjerit meminta tolong dan tidak lama kemudian, penduduk datang dan membawa kami ke Hospital Jeli sebelum anak dibawa ke HUSM,” katanya ketika ditemui di HUSM, kelmarin.

Katanya, Nor Hazeren yang patah tulang belakang dan rusuk serta cedera di kepala ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) HUSM untuk rawatan lanjut.

KECEDERAAN bawah mata dialami  Mariam.
KECEDERAAN bawah mata dialami Mariam.

“Keadaannya kini stabil dan boleh bercakap. Ahad ini, Insya-Allah dia menjalani pembedahan memasukkan besi dan skru pada tulang belakang yang patah,” katanya.

Katanya, petang sebelum kejadian, Nor Hazeren sempat menunjukkan surat tawaran menyambung pengajian di Universiti Teknolongi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak, dalam jurusan Diploma Pengurusan Hartanah pada Julai ini.

Sementara itu, kakak mangsa Norahannie, 29, berkata, wang pembedahan dikumpul daripada ahli keluarga selain derma Maktab Rendah Sains Mara Jeli yang menjadi tempat terakhir adiknya belajar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 6:01 AM