MOHAMAD Nasir menerima rawatan.
MOHAMAD Nasir menerima rawatan.
Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: “Sebaik digilis, saya terus bangun tanpa menyedari paha kanan saya patah,” kata warga emas Mohamad Nasir Manas, 70, yang parah dirempuh kereta Perodua Kancil yang hilang kawalan di stesen minyak di Jalan Besar, di sini, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, Mohamad Nasir mengisi petrol ke dalam kereta Proton Iswara di stesen minyak terbabit.

Katanya, sebelum itu dia dan isteri Saerah Hassan, 58, baru menghantar pulang tiga cucu ke rumah di Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin, di sini, selepas mengambil mereka di sekolah.

“Selepas menghantar mereka pulang, saya dan isteri keluar semula ke bandar Kluang untuk membeli barang dapur.

“Ketika dalam perjalanan saya menyedari minyak kereta hampir habis dan berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengisinya,” katanya.

Mohammad Nasir berkata, ketika menutup tangki minyak dan bersedia masuk ke dalam kereta, tiba-tiba Perodua Kancil merempuh belakang keretanya.

“Akibat rempuhan itu, kereta saya bergerak 10 meter ke hadapan dan saya terjatuh sebelum digilis dan diseret kira-kira dua meter menyebabkan patah tulang paha, tulang siku terkeluar dan cedera di rusuk kiri.

“Ketika digilis saya ingat akan mati, tetapi sejurus kejadian saya terus bangun tanpa menyedari paha kanan patah,” katanya yang dibawa seorang lelaki ke Hospital Pakar Kluang Utama, di sini, untuk rawatan.

Sementara itu, Saerah yang berada di dalam kereta pada mulanya tidak mengetahui kejadian sebelum mendengar suami menjerit menyebabkannya terkejut.

“Pada mulanya saya ingat dia menjerit selepas kereta dirempuh menyebabkan ia bergerak ke hadapan, tetapi sebaik keluar dari kenderaan saya lihat dia terbaring berlumuran darah,” katanya.

Kejadian dirakam kamera litar tertutup stesen minyak itu memaparkan wanita berumur 40 tahun gagal mengawal kenderaan selepas selipar dipakainya tersekat pada pedal minyak.

Berdasarkan rakaman video yang viral di Facebook, wanita itu masuk ke dalam kenderaan sejurus selesai mengisi minyak, namun gagal mengawalnya ketika kenderaan mula bergerak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 10:43 AM